fb fb fb fb fb

Hajiji arah pembaikan segera lokasi tanah runtuh

Datuk Seri Hajiji Noor meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan Penampang–Tambunan hari ini

KUALA LUMPUR, 13 September – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsesi penyelenggaraan segera membersihkan lokasi tanah runtuh di Jalan Penampang–Tambunan.

Beliau berkata, laluan kini hanya dibuka satu lorong, namun kerja pembersihan perlu disiapkan dalam tempoh dua hari dengan tambahan jentera serta operasi 24 jam.

“Kerja-kerja mesti dipercepat supaya kedua-dua lorong dapat digunakan sepenuhnya demi keselamatan dan kelancaran rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Hajiji turut menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta memaklumkan kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan khairat kematian.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membantu membina semula kediaman keluarga terjejas bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara selepas insiden tanah runtuh tersebut.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya serta beberapa wakil rakyat kawasan Penampang.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick; ADUN Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang serta Ketua Bahagian PGRS Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

GRACE AISYAH KEDAYAN