fb fb fb fb fb

PM Anwar hadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam Isnin ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar pada Isnin (15 September) ini bagi membincangkan serangan Israel terhadap negara berkenaan.

Beliau akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan serta pegawai kanan kementerian bagi menghadiri sidang itu.

Sidang kemuncak berkenaan turut menghimpunkan pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Mesyuarat persediaan peringkat menteri Arab-Islam dijadualkan berlangsung sehari sebelum itu.

“Penyertaan Perdana Menteri mencerminkan sokongan penuh dan solidariti Malaysia terhadap Qatar, di samping kesinambungan usaha membela hak rakyat Palestin serta mengecam keganasan Israel,” menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

Beliau turut dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara, menegaskan pendirian tegas Malaysia bahawa keamanan dunia terancam sekiranya Israel terus mencabul undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.

Sidang Kemuncak Arab-Islam berkenaan dijangka meluluskan resolusi bersama, menggariskan tindakan konkrit dan pendirian negara anggota dalam menangani serangan Israel terhadap Qatar.

GRACE AISYAH KEDAYAN