fb fb fb fb fb

Harga petrol Malaysia, antara terendah dunia

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan meninjau projek naik taraf di sekitar Pulau Betong, Balik Pulau hari ini / BERNAMA

BALIK PULAU, 22 September - Malaysia kekal antara negara dengan harga petrol terendah di dunia walaupun harga tanpa subsidi mencecah RM2.60 seliter.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga subsidi yang berkuat kuasa pada 30 September ini akan kekal pada RM1.99 seliter, meskipun berlaku peningkatan harga minyak mentah global.

Beliau menjelaskan, penetapan harga itu merupakan sebahagian daripada subsidi kerajaan, yang dianggarkan memberi penjimatan sehingga RM4 bilion setahun.

“Untuk rakyat Malaysia, kita adalah antara negara dengan harga petrol paling murah di dunia. Namun, kita tunggu harga pasaran diumumkan pada 30 September kerana ia bergantung kepada harga minyak mentah global serta mekanisme sedia ada. Harga RM1.99 itu adalah harga bersubsidi dan ia kekal,” katanya.

Datuk Seri Amir Hamzah berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kampung Angkat Madani di Pulau Betong, Balik Pulau.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan memperkenalkan mekanisme pengesahan baharu bagi penyasaran subsidi, sebaliknya penggunaan MyKad sudah memadai.

Menurutnya, kaedah itu terbukti berkesan melalui pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang melibatkan sembilan juta penerima.

“Menerusi sistem sedia ada, kita tidak perlu cipta kad baharu. MyKad sudah menjadi kunci kelayakan rakyat Malaysia. Malah, ia meningkatkan rasa bangga kerana hanya rakyat Malaysia yang layak menikmati pelarasan subsidi,” jelasnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE