fb fb fb fb fb

Harga minyak masak botol turun berkuat kuasa 8 September hingga 7 Oktober 2022

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 1 September - Harga siling minyak sawit botol pelbagai saiz diturunkan berkuat kuasa 8 September hingga 7 Oktober ini.

Penurunan itu menyaksikan minyak masak lima kilogram (kg) dijual pada harga RM33.50 berbanding RM34.70 sebelum ini.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata penurunan harga itu tetap dilaksanakan walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) menyaksikan sedikit peningkatan.

(Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa)

”Untuk bulan Ogos lalu, kita dapati terdapat kenaikan sedikit MSM daripada RM4,060 kepada RM4,170, naik RM110.

“Walaupun harga minyak sawit CPO naik sedikit, Jawatankuasa telah memutuskan supaya untuk menurunkan lagi harga maksimum minyak sawit botol 5 kilogram,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas tersebut, di sini.

Tambah Annuar, untuk harga minyak masak tiga kilogram pula ia akan diturunkan daripada RM21.70 kepada RM21.10.

Manakala bagi minyak masak dua kilogram diturunkan sebanyak 40 sen kepada RM14.30.

Dalam pada itu, Annuar berkata, pihaknya berpuas hati dengan syor yang dikemukakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk terus menurunkan harga minyak.

Media Baharu