(Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital Bulan September 2023 di Putrajaya)
PUTRAJAYA, 21 September- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam peringkat akhir perbincangan bersama pembekal perkhidmatan jalur lebar untuk menawarkan harga borong internet pada kadar lebih murah.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil, beliau telah mengarahkan supaya perbincangan tersebut dimuktamadkan secepat mungkin.
"Saya difahamkan pihak MCMC sedang dalam fasa terakhir perbincangan dengan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan internet jalur lebar peringkat borong.
"Saya minta agar perbincangan ini ditamatkan minggu depan sebelum akhir bulan September, dan ia akan diikuti dengan majlis tandatangan semua syarikat penyedia perkhidmatan internet jalur lebar peringkat borong, selepas itu saya percaya harga internet jalur lebar akan berkurangan dengan agak signifikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital Bulan September 2023 di Putrajaya.
Tambah beliau, walaupun proses tersebut mungkin akan mengambil masa kerana melibatkan perbincangan pelbagai pihak, namun hasil tersebut akan memberi kebaikan pengguna.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)