LANGKAWI, 4 November- Harga ayam bulat segar di seluruh negara dilapor stabil tanpa kenaikan mendadak meskipun kerajaan menamatkan subsidi dan kawalan sepenuhnya, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata ia dikesan berdasarkan laporan pemeriksaan setiap hari oleh 900 pegawai pemeriksa dan pemantau di hampir 1,500 premis meliputi pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit di seluruh negara.
"Seramai 2,200 pegawai penguat kuasa kita ada jadual tetap dan mereka membuat pemeriksaan secara mengejut di premis menjual ayam.
"Purata harga ayam semalam ialah RM8.51 sekilogram," katanya pada sidang media selepas melepaskan 48 peserta Cabaran Enam Jam Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di pekarangan Parkroyal Langkawi Resort di sini, hari ini.
Mengulas mengenai program ReDI ini ia adalah salah satu inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang bertujuan untuk menwujudkan masyarakat digital yang inklusif dan berdaya saing.
Tambah Fuziah lagi, kementerian berharap program ini akan diperkukuhkan dalam inisiatif-inisiatif lain yang akan datang seperti Inisiatif Pasar Rahmah dan Gaya Hidup Rahmah yang bakal diperkenalkan tahun hadapan.