fb fb fb fb fb

Harga ayam diapung, bantuan bersasar akan diberi kepada golongan memerlukan

(FOTO FAIL)

PUTRAJAYA, 21 Jun - Bantuan wang bersasar akan diberikan kepada golongan memerlukan susulan harga ayam dijangka naik bermula bulan depan.

Ini berikutan kawalan harga siling ayam dan telur ayam ditamatkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perinciannya akan diumumkan oleh kementerian kewangan dalam masa terdekat.

(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi)

"Golongan yang memerlukan juga akan dibantu nanti dengan wang tunai secara bersasar. Berkenaan dengan isu ini biarlah saya letakkan kepada kementerian kewangan untuk memberi perincian bagaimana saluran kewangan bantuan ini dibuat," katanya dalam sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama pihak industri mengenai isu harga dan bekalan di kementeriannya, di sini.

Dalam pada itu, Nanta turut mengumumkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram (kg) dimansuhkan bermula 1 Julai ini.

Katanya, tindakan itu diambil bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang dan seterusnya menstabilkan harga barangan.

(FOTO FAIL)

Beliau bagaimanapun berkata subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan.

"Sebenarnya, program subsidi minyak masak tulen untuk botol ini hanyalah sementara, ketika pelaksanaan pada 2021 itu kita buat dalam tempoh tiga bulan sahaja iaitu Ogos, September dan Oktober.

"Bagaimanapun, ketika itu kerajaan berpendapat kita patut lanjutkan dan disebabkan itu ia dilaksanakan sehingga kini. Kini kerajaan merasakan tibalah masa untuk dimansuhkan supaya boleh memberi fokus bagaimana untuk membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Media Baharu