fb fb fb fb fb

Haji 2022: Malaysia dapat permit operasi hospital

(TH sentiasa komited dalam menyantuni jemaah haji, bagi perkhidmatan kesihatan
terutama operasi hospital bagi memastikan mereka menerima rawatan terbaik)

MAKKAH, 21 Jun- Tabung Haji, (TH) melakar sejarah apabila Malaysia menjadi negara pertama memperolehi permit operasi hospital dari kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1443H/2022,

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ini membuktikan kecekapan TH dalam mengurus kebajikan jemaah haji, terutama dalam asprek kesihatan.

"Berbanding negara lain, kecekapan Malaysia sentiasa diperakui Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan mereka sedia maklum bahawa petugas Lembaga Tabung Haji (TH) akan mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan.

"Satu majlis serahan permit yang dikeluarkan ini telah diadakan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada minggu lalu, dan ia dihadiri wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Syed Saleh berkata, TH sentiasa komited dalam menyantuni jemaah haji, bagi perkhidmatan kesihatan terutama operasi hospital bagi memastikan mereka menerima rawatan terbaik.

"Ini germasuk perkhidmatan dalam bangunan, peralatan, juga sistem pembuangan sisa, jumlah kakitangan perubatan turut diberi penekanan.

"Itu syarat-syarat yang dikenakan Arab Saudi, dan ini menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia bahawa apabila membuat sesuatu, semuanya akan mengikut peraturan dan terbaik dengan gerak kerja sistematik," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia, di sini.

 

(Malaysia berjaya memperoleh pengiktirafan dan menjadi negara pertama mendapat
permit untuk hospital beroperasi bagi musim haji 1443H/2022)


Mengulas lanjut, beliau berkata tiada kes kesihatan kritikal setakat ini danmembabitkan sejumlah kecil masalah berkaitan respiratori dan kulit kesan daripada cuaca
kering dan panas.

"Mungkin kita dapat lihat bahawa keberkesanan hasil daripada pemeriksaan kesihatan yang agak ketat pada tahun ini di Malaysia dan puratanya umur para jemaah haji kita yang lebih muda dan saya rasa juga perlu kita memberi kepujian kepada jemaah Malaysiakerana sentiasa peka dalam aspek kesihatan," katanya.

Sementara itu, Syed Saleh terus menasihati jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan terutama persediaan berdepan cuaca panas kerana Arab Saudi dijangka mengalami gelombang haba
minggu ini yang dijangka boleh mencecah sehingga 50 darjah celcius.

"Saya mahu menasihati jemaah supaya sentiasa memakai pelitup muka, terutama di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

"Jemaah haji juga perlu teliti barangan makanan yang dibeli, pastikan bersih dan basuh dahulu buah-buahan sebelum makan.

"Dalam keadaan yang panas ini, kita harus menjaga diri supaya tidak terdedah kepada cuaca terlalu panas dan sentiasa meminum air secukupnya untuk mengelak pelbagai penyakit, termasuk strok haba," katanya.

 

(Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman)

Media Baharu