fb fb fb fb fb

Harga ayam dan telur, lonjak lebih tinggi jika tiada intervensi kerajaan- KPDNHEP


KUALA LUMPUR, 8 Januari- Harga ayam dan telur akan melonjak naik lebih tinggi sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan langkah proaktif sentiasa diambil untuk mengimbangi kenaikan harga ayam dan telur di pasaran.

Antaranya termasuk pelanjutan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sehingga 4 Februari ini, mengimport ayam bulat sejuk beku dan pemberian kemudahan pinjaman mudah kepada industri penternakan ayam negara bagi mengatasi masalah lonjakan harga ayam di pasaran.

Selain itu, usaha mengimport ayam bulat sejuk beku sehingga 10 ribu tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan dan tindakan itu sedang diusahakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Beliau menyatakan demikian dalam laman Facebook, susulan kenyataannya berkenaan jangkaan kenaikan harga ayam dan telur di pasaran selepas SHMKM berakhir 4 Februari depan.

Mengulas lanjut, Alexander berkata kenyataan itu bukan sengaja diada-adakan tetapi berdasarkan hasil maklumat yang diterima daripada sesi libat urus yang diadakan 6 Januari lepas bersama MAFI, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kewangan, wakil Agrobank dan Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM).

Media Baharu