fb fb fb fb fb

Hapus AP bahan makanan, usahawan dapat import tanpa monopoli kartel - Noh

KUALA SELANGOR, 21 Mei - Keputusan kerajaan menghapuskan lesen import (AP) bahan makanan membolehkan usahawan mengimport bahan asas makanan ke negara ini tanpa dimonopoli kartel yang akhirnya memanipulasi harga.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, keputusan itu juga bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

"Ada usahawan, mcm saya lah dulu jadi Menteri Pertanian, ada usahawan nak bawa daging import daripada Mongolia, tetapi bila saya nak tolong macam-macam prosedur operasi standard (SOP), akhirnya dia tak boleh import, ada dulu nak bawak masuk kambing, sama juga, saya kata saya bagi sokongan tapi banyak sangat prosedur akhirnya dia tak dapat import, itu yang nak kata kartel itu mungkinlah, berapa syarikat yang diberi AP untuk mengimport daging, sebagai contoh, jadi benda-benda ini, kita tak nak jadi, kalau PM kata hapus jadi bermakna siapa yang ada peluang bawak masuk, bawak masuk lah, tiada lah prosedur yang terlalu banyak, itu saya menyokong," kata beliau selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, di sini hari ini.


(Foto fail)

Mengulas mengenai kenaikan harga barang, Noh memaklumkan, Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyasarkan untuk membuka lebih banyak Coopmart di seluruh negara bagi membantu rakyat membeli barang keperluan dengan harga yang lebih murah.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 1,000 Coopmart di seluruh negara.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) juga diminta memainkan peranan menangani 'orang tengah' dengan menubuhkan pusat pengumpulan dan pengedaran.

Selain itu, koperasi yang terlibat dalam bidang ternakan diminta mewujudkan sistem ladang kontrak bagi membantu orang ramai memperoleh barangan mentah seperti ayam dan telur pada harga lebih rendah.

Media Baharu