KUALA LUMPUR, 18 Februari- Kerajaan memberi jaminan bahawa hanya syarikat yang bertauliah dan memenuhi syarat ketat akan diberikan lesen operasi pemeriksaan kenderaan. Langkah pembukaan pasaran ini bertujuan meningkatkan integriti dan kualiti perkhidmatan demi keselamatan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan bahawa syarikat yang mendapat kelulusan bersyarat perlu melengkapkan kemudahan serta memiliki tenaga kerja bertauliah dalam tempoh 24 bulan sebelum lesen operasi dikeluarkan.
Sekiranya syarikat gagal memenuhi syarat dalam tempoh yang ditetapkan, lesen tidak akan diberikan.
"Saya sendiri tidak mahu syarikat yang tidak bertauliah diberikan lesen. Semua syarikat yang diberikan kelulusan mesti memenuhi semua kriteria yang ditetapkan.
"Selain itu, ada satu aspek yang kurang dibincangkan. Ramai yang mengatakan tempoh yang diberikan hanya lapan bulan. Sebenarnya, lapan bulan ini merujuk kepada tempoh penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) untuk memohon lesen pemeriksaan kenderaan.
"Namun, syarikat yang disebut ini bukan syarikat baharu atau syarikat dengan modal hanya RM2. Syarikat ini mempunyai modal berbayar sebanyak RM20 juta dan terlibat dalam perniagaan lain. Untuk makluman Yang Berhormat, syarikat ini juga merupakan milik penuh Bumiputera," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin, di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, pembukaan pasaran pemeriksaan kenderaan dijangka memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, sekali gus memecahkan monopoli sedia ada dan meningkatkan mutu perkhidmatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemantauan ketat sedang dijalankan, termasuk operasi penyamaran oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di PUSPAKOM bagi membanteras sebarang isu integriti.
Dalam pada itu, Anthony menasihati pengusaha bas supaya tidak menggunakan khidmat ‘runner’ untuk mempercepatkan urusan pemeriksaan. Beliau juga mengingatkan agar tayar dan komponen kenderaan mematuhi piawaian yang ditetapkan, bukan sekadar ditukar sementara untuk lulus pemeriksaan.