fb fb fb fb fb

7R Orbit Park produk pelancongan baharu Pulau Langkawi

Foto RTM

LANGKAWI, 18 Februari-Pulau Langkawi bakal memiliki sebuah lagi tarikan pelancongan baharu sebaik projek taman lestari di kawasan hutan paya bakau dinamakan 7R Orbit Park.

Berkonsepkan interaktif, taman yang menggabungkan pendidikan, pemuliharaan alam sekitar dan inovasi dalam pengurusan alam sekitar bakal dibangunkan di kawasan seluas enam hektar di Kuala Sungai Melaka, di sini.

Taman lestari tersebut dibangunkan oleh Kelab Lestari Hijau (KLH) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi KLH, Norhazlina Zainuddin, berkata projek pembangunan taman lestari dipercayai yang pertama di negara ini dilihat tepat pada masanya untuk merancakkan semula ekonomi di pulau pelancongan antarabangsa itu.

Terbahagi kepada tiga fasa dan akan dimulakan dengan pembinaan arca kitar semula, pasar pertukaran sisa terbuang dan pelayaran menyelusuri sungai.

Tambah beliau, sebaik siap kelak taman lestari itu bakal memiliki 75 arca daripada bahan terbuang.

"Sebagai contoh setiap arca kami akan sediakan plak dimana kami bagi fakta-fakta berapa kilogram kami pakai tayar, scap dan sebagainya dan ini juga menunjukkan sifar karbon yang kami praktikkan", katanya demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan 7R Orbit Park di Kompleks Lada, di sini.

Hadir sama, Pengarah Tourism Malaysia Kawasan Utara, Abdul Hadi Che Man.

Taman lestari tersebut juga akan mempunyai “Pasar Terapung” nya sendiri disertakan elemen taman tema, aktiviti lasak seperti 'flying fox' dan belon panas statik sebagai tarikan.

Taman tersebut bakal direalisasikan pembinaannya dalam tempoh dua tahun akan datang.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD