fb fb fb fb fb

Hampir 4 tahun tidak beroperasi, Masjid Kristal kembali meriah

KUALA TERENGGANU, 3 April - Masjid Kristal yang pernah diiktiraf sebagai masjid tercantik di dunia menerima jemaah solat terawih pertama semalam, selepas empat tahun tidak beroperasi.

Kebenaran untuk solat berjemaah tanpa penjarakan tahun ini nyata memberi kelegaan kepada pengurusan masjid dan penduduk sekitar.

Menurut Imam Masjid Kristal Rlan Ibrahim, kehadiran 400 jemaah memenuhi ruang solat masjid berkenaan menunjukkan sambutan positif.

Empat imam jemputan dari Mesir dan Yaman bertugas secara bergilir-gilir bagi mengimamkan solat terawih sepanjang Ramadan ini.

Pembukaan semula masjid berkenaan susulan proses baik pulih sudah memasuki tahap 80 peratus.

(Imam Masjid Kristal Rlan Ibrahim ketika ditemui RTM)

"Masjid kita ni sudah tutup agak lama. Hampir empat tahunlah, jadi dengan pembukaan ni orang tertunggu-tunggulah untuk hadir. Tambah-tambah lagi Ramadan ni, jadi kejutanlah bagi kita dengan kehadiran itu walaupun, selama ni saya dah mula bertugas pada tahun 2014," kata Rlan di sini.

Sementara itu jemaah yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana dapat berterawih di masjid berkenaan selepas sekian lama tidak dapat berbuat demikian.

"Saya mari (datang) sini terujalah sebab nak solat. Sudah empat tahun tidak beroperasi sebelum ni. Malam ni malam pertama Ramadan dan kerajaan bagi kita punya saf tidak ada jarak lagi jadi dekat kampung saya jadi saya mari sinilah," kata Zainuddin Wahab.

"Tak sabarlah, kita selama ni kita tidak berapa suka sangatlah tapi setelah kerajaan umumkan, maka kita rasa terharu dan sangat gembiralah dengan perkhabaran dari kerajaan," kata Basriah Ngah.

Sebelum ini, kerja-kerja pembaikan masjid dilakukan secara berperingkat sejak tahun 2018.

Ini termasuk baik pulih kebocoran, pembinaan kubah baharu, penggantian silikon dan pendawaian elektrik.

Kerja pembaikan bernilai RM700,000 itu dilakukan kontraktor Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Media Baharu