AMPANG, 27 Disember -Hampir 4,000 pengunjung hadir memeriahkan Zoo Negara bersempena cuti perayaan Krismas, Khamis lalu.
Timbalan Presiden Persatuan Zoologikal Malaysia (MZS), Datuk Rosly Lana berkata, sambutan menggalakkan itu menjadikan Zoo Negara antara lokasi tumpuan utama pengunjung sepanjang cuti persekolahan.
"Tarikan utama ialah pameran haiwan yang menarik. Zoo Negara menampilkan pelbagai spesies haiwan, ada yang garang dan ada yang comel, untuk tontonan orang ramai, dengan penekanan terhadap kebajikan dan kesihatan haiwan
Pertunjukan haiwan sangat popular. Hampir 90 peratus pengunjung mahu menyaksikan persembahan seperti binturung, singa laut dan burung kakak tua,” katanya.
Tinjauan RTM mendapati orang ramai, termasuk pelancong tempatan dan asing, mula memenuhi kaunter tiket seawal pukul 8 pagi.
Seorang pelancong dari Riau, Indonesia, Wanizam Wan Saman berkata, beliau memilih Zoo Negara sebagai destinasi percutian bersama anak-anak sempena cuti persekolahan.
“Kami bawa anak-anak bercuti ke sini. Banyak haiwan dari luar negara yang mereka belum pernah lihat sebelum ini,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Norleeyana Ramli berkata, Zoo Negara mampu menarik minat kanak-kanak untuk mengenali haiwan dengan lebih dekat.
“Kanak-kanak dapat melihat haiwan secara langsung, bukan sekadar di televisyen. Ia sangat menarik dan memberi pengalaman berbeza,” katanya.
Bagi pengunjung kanak-kanak, Muhammad Adwa Syafi Asraf, minatnya terhadap haiwan mendorong cita-citanya untuk menjadi sukarelawan di Zoo Negara.
“Saya suka semua haiwan dan mahu jadi sukarelawan di zoo,” katanya.
Sementara itu bagi Yau Tze Yip, kunjungan ke Zoo Negara memberi peluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
“Anak saya berusia tiga tahun dan sangat suka haiwan. Zoo adalah tempat terbaik untuk aktiviti keluarga,” katanya.
Selain itu, program adopsi haiwan yang dilaksanakan Zoo Negara turut menarik minat pengunjung.
Seorang penderma, Nur Amanina Omar berkata inisiatif itu membantu memastikan kebajikan haiwan terus terpelihara.
“Saya menyertai program adopsi ular albino python. Ini satu inisiatif yang baik dan saya menggalakkan orang ramai untuk turut menyokong Zoo Negara,” katanya.
Pengunjung lain pula, Nur Aleesha Rizqin Rohimi berharap, generasi muda dapat didedahkan dengan pengalaman melihat haiwan secara bersemuka.
“Ia pengalaman yang menyeronokkan dan penting supaya kanak-kanak mengenali alam semula jadi, bukan hanya melalui skrin,” katanya.