KUALA LUMPUR, 27 Disember - Keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol di semua lebuh raya bagi tahun 2026 dilihat mampu memberi kelegaan kepada rakyat dalam berdepan tekanan kos sara hidup, khususnya melibatkan penduduk bandar dan pengguna lebuh raya harian.
Langkah itu juga sejajar dengan usaha kerajaan mengekang kesan inflasi serta memastikan perbelanjaan isi rumah kekal terkawal terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Nurul Syifaa Mohd Shakil berpandangan keputusan tersebut memberi impak positif kepada golongan B40 dan M40 yang sebelum ini terkesan susulan peningkatan inflasi pada November 2025.
““Keputusan untuk tidak meningkatkan kadar tol pada tahun hadapan dapat membantu golongan B40 dan M40 menstabilkan perbelanjaan kewangan mereka, terutamanya selepas berdepan peningkatan inflasi sebelum ini,” kata beliau ketika dihubungi Berita RTM.
Menurut beliau, dari sudut implikasi kewangan, keputusan mengekalkan kadar tol berkemungkinan mengurangkan dividen yang diterima kerajaan serta keuntungan pihak konsesi lebuh raya.
Bagaimanapun, beliau percaya perbincangan antara kerajaan dan pihak konsesi telah dilaksanakan secara menyeluruh dan mencapai satu kata sepakat yang mengambil kira kepentingan rakyat tanpa menjejaskan kelangsungan operasi konsesi lebuh raya.
Keputusan mengekalkan kadar tol bagi tahun 2026 itu diumumkan kerajaan sebagai sebahagian daripada langkah berterusan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat dan memastikan kesejahteraan ekonomi terus terpelihara.