JOHOR BAHRU, 27 Disember -Penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang hampir mencecah 100 peratus secara purata di tujuh negeri membuktikan penerimaan tinggi rakyat terhadap bantuan berkenaan.
Inisiatif itu dilihat berkesan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Di Johor Bahru, majoriti penerima menyambut baik bantuan tersebut kerana dapat digunakan terus bagi menampung keperluan asas harian keluarga.
Seorang penerima, Chai Hui Choon berkata, SARA membantu mengurangkan tekanan kewangan susulan harga barangan yang tinggi di bandar raya itu.
“SARA ini boleh tolong kurangkan tekanan kos sara hidup. Saya guna untuk beli barangan keperluan harian seperti sabun dan barang asas lain,” katanya.
Bagi Abdul Ain Sakal pula, bantuan itu memudahkan perancangan perbelanjaan bulanan isi rumah.
“Dengan adanya SARA, perbelanjaan keluarga boleh dikurangkan dan dimasukkan dalam bajet bulanan. Ia sangat membantu golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Seorang lagi penerima, R. Praveen Kumar berharap bantuan berkenaan dapat diteruskan supaya lebih ramai golongan memerlukan mendapat manfaat.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan ini memudahkan urusan membeli barang keperluan harian,” katanya.
Sementara itu, Norfazila Daud berkata SARA digunakan sepenuhnya setiap bulan bagi keperluan keluarga, khususnya bagi mengimbangi kos sara hidup yang tinggi di Johor Bahru.
Orang ramai yang layak disaran menyemak baki kredit masing-masing dan memanfaatkan sepenuhnya bantuan SARA sebelum tempoh penggunaannya berakhir pada penghujung tahun ini.