fb fb fb fb fb

Hampir 300 penerima Tabung Kasih@HAWANA, capai sasaran tahunan

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching pada sidang media ketika hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA sempena Deepavali di Wisma Bernama/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Peruntukan keseluruhan Tabung Kasih@HAWANA berjumlah hampir RM1 juta untuk tahun ini berjaya diagihkan, sekali gus hampir mencapai sasaran tahunan sebanyak 300 penerima.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata peruntukan itu berjaya diagihkan kepada 275 pengamal media dengan jumlah sumbangan keseluruhan melebihi RM830,000.

"Setakat hari ini, sudah ada seramai 275 orang penerima dari industri media yang telah menerima bantuan daripada Tabung Kasih Hawana." katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kasih Hawana bersempena Deepavali di Wisma BERNAMA di ibu negara.

Seramai 532 pengamal media telah memanfaatkan tabung berkenaan dengan jumlah sumbangan melebihi RM1.53 juta sejak mula dilancarkan pada Mei 2023.

Beliau menyifatkan inisiatif itu bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi memastikan kebajikan pengamal media terus diberi perhatian.

Seramai 16 pengamal media menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA menjelang sambutan Deepavali berikutan masalah kewangan dan kesihatan yang dihadapi.

Beliau turut berharap agar dana tersebut terus diperkasa dan peruntukannya dapat ditambah dari semasa ke semasa supaya lebih ramai pengamal media yang memerlukan mendapat dibantu.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ