PUTRAJAYA, 13 Oktober – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kemudahan kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid sempena sambutan perayaan Deepavali pada 20 Oktober ini.
KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu melibatkan semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) termasuk universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.
Kemudahan itu akan berkuat kuasa mulai 16 Oktober (Khamis) hingga 24 Oktober (Jumaat), bergantung kepada kesesuaian dan keperluan program akademik di institusi masing-masing.
“Langkah ini diambil bagi memberi ruang dan kemudahan kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu untuk menyambut Deepavali bersama keluarga dalam suasana yang harmoni dan bermakna, selaras dengan semangat keterangkuman dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia,” menurut kenyataan itu.
KPT berkata pelaksanaan PdP dalam talian atau hibrid itu akan diselaraskan oleh jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan perjalanan aktiviti akademik keseluruhan tidak terjejas.
Selain itu, kementerian turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua pelajar, tenaga akademik serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu.
“Semoga perayaan ini membawa cahaya kegembiraan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua,” ujar kenyataan itu lagi.