KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Pelajar dan tenaga pengajar di semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dibenarkan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid sempena sambutan Deepavali tahun ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kemudahan itu diberikan selepas perbincangan bersama jabatan dan agensi berkaitan, dan berkuatkuasa bermula 16 hingga 24 Oktober.
Beliau menjelaskan, langkah tersebut bertujuan memberi ruang dan kemudahan kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu untuk menyambut Deepavali bersama keluarga dalam suasana yang harmoni tanpa menjejaskan pengajian.
" Dalam tempoh itu mereka mempunyai ruang untuk meyambut perayaan bersama keluarga dalam masa sama dapat meneruskan pengajian secara hibrid. Jadi saya harap kenyataan ini dapat melegakan mereka yang menyambut Deepavali. Kemudahan ini turut kita laksanakan untuk perayaan lain sekiranya tarikh perayaan itu jatuh pada waktu pelajar sedang berada dalam pengajian mereka.
“Namun, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kesesuaian dan keperluan program akademik masing-masing di institusi terlibat, agar tidak menjejaskan perjalanan aktiviti akademik secara keseluruhan." Katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak iFUTURE 2025 di ibu negara hari ini.