(Subahan ditemu bual selepas pelancaran Karnival Kerjaya MyFutureJobs
Selangor yang berlangsung sehingga esok)
KLANG, 6 Mei- Seramai 16,865 pencari kerja di seluruh negara berjaya mendapatkan pekerjaan melalui karnival kerjaya dan portal MYFutureJobs setakat 28 April tahun ini.
Menurut Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Subahan Kamal, jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang akhir tahun.
Katanya berdasarkan rekod tahun lepas, seramai 295,044 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan.
"Hari ini kita telah menyediakan hampir 7,500 peluang pekerjaan. Banyak majikan daripada pelbagai sektor mengambil bahagian. Mereka turut serta dengan aspirasi kerajaan untuk membantu masyarakat atau anak-anak muda di peringkat akar umbi (mendapatkan pekerjaan)," kata Subahan selepas pelancaran Karnival Kerjaya MyFutureJobs Selangor yang berlangsung sehingga esok di Dewan Hamzah, Klang.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar melancarkan karnival tersebut yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja V. Ganabatirau dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Mengulas mengenai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pula, Subahan berkata terdapat 175,999 pencarum aktif sejak skim itu dilancarkan dua tahun lepas dengan caruman hanya RM120 setahun.
"RM10 sebulan, jadi saya fikir jumlah ini minimum. Skim ini sangat bagus. Saya berharap sangat kaum wanita memanfaatkan sepenuhnya program ini," katanya.
(Hampir 17,000 pencari kerja berjaya dapat pekerjaan)