fb fb fb fb fb

PRN Kedah: Gabungan BN, PH tunjuk perkembangan positif

PADANG TERAP, 6 Mei- Perbincangan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengenai kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi oleh gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menunjukkan perkembangan yang sangat positif.
 
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kedua-dua gabungan itu berada di landasan terbaik ketika mengadakan proses rundingan yang kini telah memasuki fasa ketiga.
 
"Pada saya positif, ada sedikit sebanyak kekangan tetapi insya-Allah kita boleh selesaikan.

"Memanglah ada sedikit pertikaian tetapi pada saya setakat ini menunjukkan urusan yang positif di semua parti yang terlibat untuk kerusi di Kedah.

"Kita ada 36 kerusi DUN di Kedah. Insya-Allah boleh selesai dengan baiklah," katanya.
 
Datuk Seri Mahdzir bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah bersama UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak Naka, di sini.
 
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah berkata, senarai kerusi dan calon yang akan bertanding pada PRN akan datang akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi parti-parti gabungan di peringkat pusat.


(Foto fail)

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Kedah melakukan perubahan agar kepimpinan Kerajaan Negeri selari dengan kepimpinan di peringkat Kerajaan Persekutuan.
 
Beliau yang pernah menjadi Menteri Besar Kedah berkata, hubungan yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan memudahkan pelbagai agenda dan perancangan pembangunan dilaksanakan di negeri itu.

Media Baharu