(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Duta Besar Jepun ke Malaysia,
TYT Takahashi Katsuhiko/PMO)
KUALA LUMPUR, 6 Julai- Sebanyak 96% syarikat Jepun mahu terus kekal di negara ini, dengan separuh daripadanya ingin mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia.
Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia berdasarkan tinjauan Japan External Trade Organization (JETRO).
“Kadar pengembangan ini lebih tinggi daripada purata bagi ASEAN dan kedua tertinggi di rantau ini,” kata Anwar menerusi status di Facebooknya.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Takahashi Katsuhiko yang disertai delegasi dari badan Japanese Chamber of Trade and Industry, Malaysia (JACTIM).
Katanya, Malaysia dan Jepun terus meraikan hubungan diplomatik yang kukuh, kini masuk ke tahun ke-65.
Mengulas lanjut Anwar berkata, asas ekonomi Malaysia terus kukuh, dibuktikan dengan inflasi yang rendah serta landskap politik yang semakin stabil. Permintaan untuk produk dan perkhidmatan Malaysia juga semakin meningkat.
Kerajaan juga berkomitmen tegas untuk membangunkan industri baharu seperti ekonomi digital dan teknologi hijau.
(Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Takahashi Katsuhiko
serta delegasi dari JACTIM/PMO)
Tahun ini, sebanyak RM23 bilion komitmen pelaburan dari Jepun telah diperoleh, menjadikan mustahak untuk kerajaan terus memastikan persekitaran pelaburan kondusif serta mampu menarik minat lebih banyak pelabur asing ke Malaysia.
“Beberapa tahun kebelakangan ini, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) terus menguak tatkala negara menyaksikan pelaburan masuk yang diluluskan berjumlah RM71.4 bilion pada suku pertama tahun ini, lantas menjadikannya suatu lonjakan ketara yakni sebanyak 60% ketimbang tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Jepun merupakan antara rakan dagang terpenting dan keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak USD41.21 bilion (RM181.51 bilion) pada tahun 2022. Jepun juga disenaraikan sebagai salah satu sumber utama pelaburan asing (FDI) yang masuk ke Malaysia dalam projek-projek di lapangan pembuatan", kata Anwar.
Tahun lalu, sejumlah 2,746 projek telah dilaksanakan, dengan jumlah pelaburan bernilai USD$27.25 billion (RM91.14 bilion) dan sebanyak 336,326 peluang pekerjaan telah dijana.
Anwar juga berkata adalah mustahak untuk kerajaan terus memastikan persekitaran pelaburan kondusif dan mampu menarik minat lebih banyak pelabur asing ke Malaysia.
Peningkatan FDI yang berterusan adalah bukti keyakinan para pelabur asing yang kian pulih terhadap kemajuan dan potensi ekonomi Malaysia.