PUTRAJAYA, 28 Mac - Hampir 10,000 orang menyertai Majlis Iftar MADANI (MIM) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena cuti Nuzul al-Quran di Dataran Putra di sini.
Perdana Menteri tiba di pekarangan Dataran Putra dengan ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 6.57 petang.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Pada majlis itu, Anwar menyaksikan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan berjumlah RM110,000 sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) (RM50,000), Tenaga Nasional Bhd (TNB) (RM50,000) dan RM10,000 oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) yang disampaikan kepada tiga wakil.
Usai berbuka, Perdana Menteri menunaikan solat Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Penolong Pengarah Kanan Masjid Putra Abdul Karim Zakaria.
MIM adalah anjuran bersama JAKIM dan Perbadanan Putrajaya serta 14 agensi agama Persekutuan dan rakan strategik lain termasuk LHDN, TNB, PPZ serta Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM.
Pada majlis itu, sebanyak 10,000 pek juadah berbuka dan bubur lambuk Kampung Baru turut diagih kepada orang ramai.
Objektif majlis itu ialah untuk merapatkan persaudaraan dan kebersamaan masyarakat melalui perkongsian rezeki sekali gus dapat bersama-sama berbuka puasa dengan Perdana Menteri.
Selain itu, ia membuka ruang kepada agensi kerajaan dan Perdana Menteri untuk mendekati, menyantuni serta merasai kondisi pelbagai lapisan rakyat di Malaysia di samping menyuburkan semangat rahmah dan perpaduan di negara ini.
Konsep program itu bertepatan dengan gagasan Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri antaranya menekankan nilai hormat, ihsan dan kebersamaan sesama ahli masyarakat.