MEKAH, 7 Jun- Wanita mualaf, Khairunnisa Abdullah mengakui lidahnya kelu dan hanya mampu menitiskan air mata kesyukuran ketika melihat Kaabah buat pertama kali di hadapan mata.
Khairunnisa, 47, yang berasal daripada suku kaum Ulu di Sarawak juga menyatakan bahawa dirinya tidak menyangka berpeluang menjejakkan kaki ke Masjidil Haram bagi menunaikan ibadah haji untuk tahun ini.
Lebih manis, peluang menunaikan ibadah haji ditemani suaminya, Abdul Rahman Jawawi yang banyak memberi bimbingan berkaitan agama Islam.
"Saya tak tahu sangat mengenai haji, tetapi saya suka tengok orang kongsi (Kaabah) dekat TikTok. Saya selalu tengok dan menangis.
"(Sekarang) saya menitis air mata.... (berdoa) Ya Allah, terima kasih kerana jemput saya ke sini. Terima kasih juga kepada suami yang bawa saya ke sini," katanya kepada RTM di sini.
Selain bantuan suami dan media sosial, Khairunnisa banyak belajar mengenai Islam menerusi pembacaan. Justeru dia berharap dapat menyempurnakan rukun Islam kelima dengan sebaiknya.