fb fb fb fb fb

Haji: Kesihatan jemaah, keutamaan TH

MADINAH, 6 Jun- Isu kesihatan jemaah haji negara kekal menjadi fokus utama Lembaga Tabung Haji (TH) meskipun kerajaan Arab Saudi memperketatkan saringan kesihatan untuk jemaah yang benar-benar sihat mengerjakan haji tahun ini.

Bagi tujuan itu kira-kira 250 kakitangan kesihatan dan perubatan bertugas pada musim haji ini dengan 44 daripadanya ditempatkan di Madinah.

Pengarah Operasi Perubatan Madinah, Dr Abdul Marsudi Manah berkata TH membuka pusat rawatan di Bangunan Tabung Haji di Madinah dengan kapasiti 37 buah katil.


(Pengarah Operasi Perubatan Madinah, Dr Abdul Marsudi Manah mengingatkan para jemaah haji untuk mendapatkan
rawatan sekiranya tidak sihat dan memaklumkan kepada petugas TH bagi urusan prosedur rawatan)

Lima pakar perubatan, tujuh pegawai perubatan manakala 32 petugas perubatan lain akan bertugas bergilir bagi memberi perkhidmatan perubatan kepada jemaah.

Unit Kesihatan awam memainkan peranan penting dalam menyampaikan pendidikan kesihatan menerusi lawatan berterusan ke bilik-bilik jemaah manakala klinik kesihatan bergerak di hotel penginapan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad Bin Abdul Aziz akan bertindak memberikan bantuan segera kepada jemaah yang memerlukan.

"Kadang-kadang jemaah tak sedar yang dia sakit. Kita punya unit itu yang akan pantau dan akan rawat di tempat itu juga. Sekiranya perlu, dia akan dirujuk ke sini dan kita akan stabilkan dan beri rawatan di sini. Sekiranya kita tidak mampu untuk rawat, kita akan rujuk ke hospital Arab Saudi yang berkenaan. Waris, mahram ataupun waris di Malaysia tidak perlu risau jika mereka berada di hospital sebab kita ada unit yang akan melawat," kata Dr Abdul ketika ditemu bual RTM.

Tambah beliau, banyak aktiviti dan ibadah haji melibatkan fizikal, dan berkait dengan masalah dehidrasi.

Selain trend masalah kesihatan, turut berkait rapat dengan penjagaan kesihatan diri setiap jemaah yang tidak berada dalam keadaan optimum.

"Kita kena ingat niat kita datang ke sini untuk mengerjakan haji dan mendapat haji yang mabrur. Untuk mendapat haji yang mabrur itu, salah satu komponen yang penting adalah sihat tubuh badan. Oleh itu, saya sarankan untuk jemaah supaya mengikuti saranan yang doktor mereka berikan semasa di Malaysia. Apa yang paling penting di sini adalah kita kena seimbangkan antara penjagaan kesihatan kita dengan ibadah," tambahnya.


(Pengarah Operasi Perubatan Madinah, Dr Abdul Marsudi Manah)

Meskipun musim ini dijangka kurang kes-kes berat, jemaah perlu sentiasa menjaga kesihatan di tanah suci dan dapatkan rawatan segera sekiranya tidak sihat bagi memudahkan rawatan.

Dalam pada itu, jemaah turut dinasihatkan untuk mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diamalkan memandangkan wabak COVID-19 masih belum tamat.

Media Baharu