KUALA LUMPUR, 15 Jun-Seramai 14 petugas media Malaysia termasuk wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM) selamat pulang ke tanah air malam tadi selepas 53 hari bertugas membuat liputan musim haji di Tanah Suci.
Empat petugas berkenaan ialah Muhammad Rastwin Stia, Rozaihan Rahim, Mohd Sani Mohd Pohari dan jurukamera, Mohd Nasarudin Ahmad Kamal.
Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.00 malam tadi (Ahad).
Selain menyempurnakan tugasan liputan, mereka juga berpeluang menunaikan ibadah haji seperti jemaah lain.
Bagi Muhammad Rastwin, bertugas di tanah suci selama hampir dua bulan memberi pengalaman yang cukup bermakna.
Namun, beliau mengakui cuaca ekstrem mencecah hampir 50 darjah Celsius serta beberapa isu teknikal menjadi antara cabaran utama sepanjang liputan.
“Salah satu cabaran semasa Wukuf di Arafah ialah kami perlu berada di kawasan tertutup kerana suhu terlalu panas. Alhamdulillah, walaupun berdepan masalah teknikal, kami berjaya selesaikan tugasan dengan baik,” katanya.
Muhammad Rastwin turut meluahkan rasa syukur dan sebak apabila pertama kali menatap Kaabah, yang disifatkan sebagai kenangan terindah dalam hidupnya.
Sementara itu, Rozaihan berkongsi detik mendebarkan ketika membuat penggambaran di atas sebuah bukit apabila diawasi oleh pihak berkuasa Arab Saudi, termasuk helikopter yang berlegar di ruang udara.
“Walaupun ada dua jenis permit, kami pernah alami saat cemas.
"Semasa buat rakaman, helikopter lalu tiga kali, kemudian polis berpakaian biasa datang. Kami ingat mungkin akan ditahan. Tapi itu satu pengalaman yang tidak akan kami lupakan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan berdepan kesukaran mendapatkan akses internet, khususnya bagi siaran langsung program Selamat Pagi Malaysia dan Salam Baitullah.
Namun jelasnya, beliau bersyukur apabila semua tugasan dapat mereka selesaikan mengikut penerbit .