(Foto Hiasan)
KUALA TERENGGANU, 8 Mac-Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa melakukan siasatan berhubung kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menyanggah titah sultan Terengganu melarang ahli politik menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid serta surau di seluruh negeri itu.
Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata Ahli Parlimen Marang itu sepatutnya akur dengan arahan Majlis Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang dikeluarkan pada 2 Mac lalu.
Arahan yang dikeluarkan majlis berkenaan jelas melarang ahli politik menyampaikan kuliah di masjid dan surau demi mengelakkan institusi suci umat Islam itu dicemari unsur politik kepartian.
"Ini adalah situasi yang membimbangkan dan saya dengan ini memohon pihak polis membuka siasatan untuk memberi satu gambaran yang sebaiknya," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.
Raja Kamarul Bahrin Shah turut mendakwa Abdul Hadi akan terus menyampaikan kuliah tersebut seperti biasa selepas ini.
(Foto BERNAMA)