fb fb fb fb fb

Hadapi MTL, mesyuarat penyelarasan pastikan PPS beroperasi dengan lancar

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 19 Disember -Kecekapan pengurusan bagi menangani bencana banjir termasuk penyelarasan di pusat pemindahan sementara (PPS) adalah hasil persiapan awal dilakukan semua agensi berkaitan di Pahang.

Malah, situasi luar jangka yang berlaku ketika banjir juga memberikan cabaran kepada kerajaan negeri serta agensi keselamatan bagi menentukan tindakan paling tepat bergantung kepada keadaan semasa.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berbekalkan pengalaman berdepan Monsun Timur Laut (MTL) saban tahun, mesyuarat penyelarasan dan pembahagian tugas diadakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua PPS beroperasi dengan baik ketika banjir.

"Dan saya semalam pun, pukul 10.00 malam lebih mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bencana di peringkat negeri untuk mendapatkan maklum balas daripada agensi jabatan. Dan alhamdulillah semuanya dalam keadaan siap siaga. Kita buat persediaan yang terbaik.

"Menghadapi MTL ini bukan satu perkara baru bagi Pahang, kerana ia boleh dikatakan setiap tahun sama ada besar atau kecil saja jadi kita bersiap siaga. Namun begitu saya berharap mendapat kerjasama daripada semua pihak terutama sekali mangsa banjir supaya mendengar arahan daripada pihak berkuasa negeri," katanya kepada pemberita selepas melawat penduduk terjejas banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, di sini.

Pada masa sama katanya, kerjasama daripada penduduk terjejas banjir juga banyak menyumbang kepada prestasi cemerlang agensi terbabit dalam pengurusan bencana banjir di negeri itu.

Datuk Seri Wan Rosdy turut menasihati penduduk di kawasan berisiko banjir agar terus peka dengan perkembangan cuaca dan pengumuman daripada pihak berkuasa bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Beliau turut menzahirkan rasa bersyukur kerana sehingga kini tiada sebarang kes kehilangan nyawa dilaporkan meskipun jumlah penduduk terjejas banjir sebelum ini hampir mencecah 15,000 orang.

TETITIA YUSOFF