fb fb fb fb fb

Solar ATAP diperkenal mulai 1 Januari

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Kerajaan akan melaksanakan Program Peralihan Tenaga Solar Yang Diperkukuhkan atau Solar ATAP bermula 1 Januari 2026.

Inisiatif itu sebagai langkah strategik memaksimumkan penggunaan ruang bumbung bangunan bagi penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) daripada sumber solar.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan, program itu adalah kesinambungan Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang berakhir pada 30 Jun lalu, dengan beberapa penambahbaikan bagi menjadikan pelaksanaannya lebih fleksibel dan menarik kepada pengguna.

Menurut PETRA, Suruhanjaya Tenaga (ST) telah menyediakan Garis Panduan Program Solar ATAP yang boleh diakses melalui laman sesawang ST bermula 31 Disember ini.

Manakala permohonan boleh dikemukakan mulai 1 Januari melalui laman sesawang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

Antara penambahbaikan utama ialah tiada kuota khusus ditetapkan bawah Solar ATAP.

Namun, kerajaan berhak menetapkan had tertentu pada bila-bila masa jika kemasukan solar yang tidak terkawal menjejaskan kestabilan sistem grid nasional.

Prinsip asas NEM turut dikekalkan dengan membenarkan lebihan tenaga solar dijual kepada grid sebagai offset tenaga.

Kadar offset akan ditetapkan berdasarkan harga pasaran elektrik iaitu system marginal price bagi pengguna bukan domestik dan kadar caj tenaga semasa bagi pengguna domestik.

Bagi pengoptimuman sistem, had pemasangan solar ditetapkan sehingga 100 peratus permintaan maksimum pengguna.

Pengguna domestik satu fasa dibenarkan memasang sistem sehingga lima kilowatt (kW), manakala kapasiti kediaman tiga fasa dinaikkan kepada 15kW.

PETRA yakin pelaksanaan Solar ATAP akan menggalakkan penjanaan tenaga bersih, mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong sasaran Malaysia mencapai 70 peratus kapasiti TBB menjelang 2050, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN