KUALA LUMPUR, 6 November - Had pembelian minyak masak bersubsidi bukan berpunca daripada ketiadaan bekalan, sebaliknya ditetapkan berdasarkan jumlah subsidi yang diperuntukkan kerajaan.
Perkara itu dijelaskan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh di Dewan Rakyat.
"Kita mengehadkan belian bukan sebab ketiadaan bekalan, tetapi berdasarkan jumlah subsidi yang disediakan. Kalau kita ada 60,000 metrik tan kuota yang kita keluarkan untuk minyak masak paket, maka had pembeliannya ialah dua minyak masak paket sekali beli," katanya bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.
Menurut Datuk Fuziah, bagi memastikan tiada ketirisan atau aktiviti penyorokan berlaku yang boleh menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran, kementerian mengambil langkah penguatkuasaan melalui Ops Tiris.
Menyentuh mengenai isu pakatan harga dan kartel dalam pasaran pula, beliau memaklumkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini giat membanteras kartel tipuan bida, iaitu amalan syarikat menyertai tender kerajaan dengan nama berlainan walaupun dikawal pihak sama.