fb fb fb fb fb

Guru terlibat jenayah gangguan seksual dikenakan tindakan tegas

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 16 Mac - Tindakan undang-undang tegas akan dikenakan kepada guru yang terlibat dalam jenayah gangguan seksual di sekolah, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau menegaskan, ia perlu terus disampaikan secara jelas dalam kelompok pendidik bagi memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat untuk pelajar.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) katanya mengambil tanggungjawab dalam memastikan gangguan seksual di sekolah dapat ditangani sepenuhnya selain menggariskan beberapa panduan.

"Sebahagian daripada segmen sekolah selamat ini adalah memastikan mereka benar-benar selamat di sekolah daripada sebarang gangguan seksual. Sebab itu, apabila garis panduan menangani isu gangguan seksual di semua institusi pengajian adalah untuk memastikan bahawa garis panduan ini benar-benar dipatuhi," kata Fadhlina di Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual, di sini.

Fadhlina berkata, guru-guru juga perlu tampil membuat laporan jika terdapat kes gangguan seksual yang berlaku di sekolah.

Selain itu katanya, KPM akan menambah bilangan guru kaunseling dalam usaha memastikan pembentukan sasiah pelajar dapat dilaksana.

"Begitu juga ketika ini kita sudah menambah guru-guru kaunseling untuk murid bekeperluan khas. Murid- murid ini sentiasa dekat di hati kita, sebab itu komitmen dari bahagian keperluan khas, mesti ada juga kaunseling untuk menangani isu-isu terkait rapat dengan isu-isu seksual," katanya.

Dalam majlis sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tindakan turut akan dikenakan kepada guru dan pentadbir jika tidak melaporkan kes jenayah seksual terhadap pelajar kepada polis.

Katanya, ini selaras dengan Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Azalina berkata, tidak mahu terlibat dan bimbang disaman antara punca laporan tidak dilakukan.

"Yang paling penting ialah kita nak menerangkan bahawa mereka tidak perlu risau apa yang mereka lakukan (membuat laporan). Kita sudahpun maklumkan bahawa undang-undang yang akan melindungi mereka. Kita mahu guru-guru jadi mata dan telinga kepada kanak-kanak," katanya.

Setiap laporan tidak bermaksud perlu mendedahkan identiti pelapor kepada umum sebaliknya ia menjadi tanggungjawab bersama.

TETITIA YUSOFF