fb fb fb fb fb

Pelaburan RM113.7 bilion direkodkan di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz

Foto FB Menteri Besar

JOHOR BAHRU, 16 Mac- Johor berjaya merekodkan pelaburan sebanyak RM113.7 bilion sepanjang tempoh dua tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sepanjang tempoh sama juga, sebanyak 35,000 peluang pekerjaan berjaya dicipta untuk rakyat negeri itu.

Beliau turut berkongsi pencapaian lain sepanjang tempoh dua tahun termasuk menaik taraf 444 kilometer jalan raya di seluruh negeri.

Penaiktarafan itu melibatkan beberapa jalan utama termasuk jalan Mersing-Kota Tinggi, Jalan Muar-Labis dan Jalan Pasir Gudang.

"Kerajaan negeri juga menaik taraf tempat pelancongan seperti Muzium Diraja Sultan Abu Bakar, Zoo Johor dan enam Taman Negara.

Selain itu, turut diberikan tumpuan sepanjang dua tahun adalah kelancaran aliran trafik di CIQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar yang memanfaatkan 300,000 pengguna setiap hari.

Langkah itu termasuk mengaktifkan laluan kontra kereta dan pejalan kaki selain menambah bilangan bas," jelas Datuk Onn Hafiz dalam video yang dimuat naik di Facebook rasminya.

Beliau juga memaklumkan kejayaan kerajaan negeri menyediakan lebih 4,200 unit rumah mampu milik Johor.

Kerajaan negeri juga berjaya menyelesaikan enam projek sakit dan satu projek terbengkalai, membabitkan nilai keseluruhan hartanah mencecah RM260 juta.

Sebanyak RM438.6 juta telah disalur kerajaan antaranya membabitkan 87,000 penerima bantuan hari raya, 41,000 bantuan awal persekolahan, 17,000 bantuan sara hidup serta 3,500 bantuan perubatan bulanan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM