KUALA LUMPUR, 16 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik sempena sambutan Hari Guru hari ini.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasminya, Perdana Menteri menyifatkan guru sebagai insan mulia yang sabar mengukir masa depan anak bangsa dengan penuh kasih sayang tanpa pernah meminta untuk dipuja.
"Dalam kehidupan ini, siapa pun kita – sama ada pemimpin, doktor, jurutera, petani, malah Perdana Menteri – semuanya pernah belajar menulis, membaca dan mengira. Segalanya bermula di dalam bilik darjah," katanya.
Beliau turut menyifatkan setiap guru sebagai seorang satria yang sabar membentuk akhlak dan teguh mempertahankan nilai, dalam usaha berterusan membina masyarakat MADANI.
"Tugas kita belum selesai, kerana penat lelah membentuk sahsiah seorang insan tidak berakhir dengan tamatnya sesi persekolahan. Ia adalah amanah berterusan dari satu generasi ke generasi seterusnya," jelasnya.