KUALA LUMPUR, 20 Mac - Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melakukan pengeluaran khas perlu memanfaatkan pengeluaran tersebut sebaiknya dan menstrukturkan perbelanjaan agar lebih berkesan.
Ia bagi memastikan pencarum yang terkesan akibat bencana banjir dan usahawan mikro bangkit memulakan perniagaan dan menjana semula pendapatan.
Demikian saranan Pensyarah Keusahawanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Aida Aris.
(Pencarum KWSP boleh memohon pengeluaran khas RM10,000 bermula 1 April)
"Kita belum lagi dapat perincian syarat-syarat untuk memohon, dan perinciannya akan diberi dalam masa terdekat. Kita harap pengeluaran ini adalah untuk mereka yang benar-benar memerlukan. Sebahagian besar peniaga mikro dan pemain ekonomi gig. Bagi pemain sektor pelancongan, banjir memudaratkan kelangsungan operasi 'homestay' mereka, jadi kita harap dengan pengeluaran ini akan hidupkan kembali perniagaan mereka yang terjejas," kata Dr. Aida di sini.
Profesor Dr Aida turut menyaran pencarum untuk mendapatkan khidmat nasihat pengurusan kewangan bagi meningkatkan literasi kewangan mereka.
Ia bukan sahaja membantu pencarum memanfaatkan sebaiknya dana persaraan, malah mengkaji semula permasalahan utama dalam menangani kos bebanan hutang bulanan.