fb fb fb fb fb

Guna van elektrik, DHL Express komited bantu kerajaan kurangkan pelepasan karbon

KUALA LUMPUR, 26 September- DHL Express terus komited untuk membantu kerajaan mengurangkan pelepasan karbon daripada sektor logistik melalui penggunaan van elektrik bagi perkhidmatan penghantaran.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyambut baik komitmen syarikat logistik itu yang mempunyai kesedaran berkenaan tanggungjawab semua pihak terhadap alam sekitar.


(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)

"Mereka sekarang menggunakan beberapa kenderaan elektrik termasuk sebuah trak yang menggunakan tenaga solar serta 10 van yang juga bersifat elektrik yang ada di seluruh negara.

"Ini sebagai komitmen untuk mencapai 60% daripada keseluruhan kenderaan tidak mengeluarkan emision menjelang 2030. Ini adalah satu keputusan daripada industri dan saya amat mengalu-alukan yang usaha telah dilakukan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat DHL Express Malaysia di Menara TM, Kuala Lumpur.

Tambah beliau, DHL Express, bakal memperkenalkan perkhidmatan penghantaran menggunakan dron tidak lama lagi.

"Pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak terlibat dalam aspek-aspek penerbangan. Itu di bawah Kementerian Pengangkutan. Tetapi penggunaan frekuensi ataupun spektrum itu di bawah kawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Jadi ada sedikit perbincangan dan perkara ini memandangkan industri dron mungkin akan berkembang terutama dalam aspek penghantaran barang-barang. Maka saya lihat ada keperluan untuk pihak MCMC mengadakan perbincangan dan mungkin meneliti beberapa perkara supaya dasar selaras dengan apa yang kita lihat sebagai potensi industri dron terutama untuk penghantaran barang", katanya.

Media Baharu