KUALA LUMPUR, 23 Januari- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan produk gula-gula berjenama Apple S mengandungi bahan berbahaya iaitu 'sibutramine'.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengesan kandungan berkenaan dalam produk tersebut melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).
Sibutramine merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk mengawal selera makan.
"KKM menegaskan, produk tersebut tidak dibenarkan untuk diiklankan atau dijual mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
"Sibutramine merupakan sebatian kimia yang berfungsi di otak untuk menekan selera makan, sering digunakan dalam produk pelangsingan badan," menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama KKM turut memaklumkan bahawa ubat berkenaan tersenarai sebagai bahan terlarang dan tidak lagi didaftarkan dengan KKM.
Antara kesan sampingan akibat penggunaan sibutramine adalah gangguan pada sistem jantung, termasuk peningkatan degupan jantung walaupun dalam keadaan tidak aktif.
Terdapat juga kesan sampingan ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya.
KKM mendapati produk tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana tiada maklumat pelabelan yang betul, termasuk nama produk dalam Bahasa Malaysia dan butiran pengilang.
Dalam pada itu peniaga, termasuk dalam talian, diarahkan berhenti menjual produk berkenaan dan hubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk penyitaan.
Sementara itu pengguna yang masih menggunakan produk tersebut diminta berhenti serta-merta dan mendapatkan rawatan profesional.