GSF selar pembohongan Israel putar belit kebenaran misi kemanusiaan

KUALA LUMPUR, 4 Oktober – Pembohongan rejim Israel semakin jelas kononnya Global Sumud Flotilla (GSF) tidak membawa bantuan kemanusiaan.

Sedangkan bukti nyata menunjukkan kapal sarat dengan ubat-ubatan, makanan dan bekalan penting untuk rakyat Gaza.

Menurut kenyataan GSF, semua kapal misi itu mempunyai dokumen rapi dan membawa barangan keperluan termasuk beras, susu bayi, air bersih serta ubat-ubatan.

Jelas GSF, barangan tersebut merupakan bantuan yang amat diperlukan penduduk Gaza yang telah dizalimi sekatan selama tempoh dua tahun.

“Penafian Israel hanyalah siri pembohongan yang berulang. Hakikatnya, flotila membawa bantuan kemanusiaan yang sah.

“Wartawan, pemerhati hak asasi manusia, ahli parlimen dan pertubuhan antarabangsa sudah mengesahkan bukti itu,” tegas kenyataan itu menerusi hantaran di laman sesawang rasmi GSF hari ini.

Kenyataan itu turut menyelar Israel kerana menyebarkan pembohongan serupa yang jelas dilaporkan media selama ini.

Antaranya menafikan pengeboman hospital, menyekat konvoi bantuan, membunuh orang awam serta petugas perubatan, malah menimbus 15 paramedik ke dalam kubur yang tidak digali dengan dalam.

“Semua pembohongan itu akhirnya terbongkar. Hakikatnya, rejim Israel menjadikan kebuluran sebagai senjata perang, menghalang bekalan makanan, mengebom pusat agihan bantuan dan menghukum keluarga Palestin dengan kebuluran,” katanya.

Flotilla menegaskan, misi utama mereka adalah memecahkan sekatan laut Israel dan membuka koridor kemanusiaan untuk Gaza.

“Fakta jelas – flotilla bawa bantuan kemanusiaan, Gaza sengaja dizalimi dengan kebuluran, dan Israel sedang melakukan genosid,” menurut kenyataan itu lagi.

Global Sumud Flotilla menyeru komuniti antarabangsa menghentikan pengulangan propaganda Israel, sebaliknya bertindak menamatkan sekatan, kebuluran dan pembunuhan beramai-ramai terhadap Palestin.

Pelayaran GSF membabitkan penyertaan sukarelawan daripada 45 negara termasuk Malaysia.

Mereka yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan itu dijadualkan tiba di perairan Gaza dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat.