fb fb fb fb fb

GRS sah sertai kerajaan perpaduan - PM

(Anwar Ibrahim)

PUTRAJAYA, 25 November- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesahkan bahawa parti gabungan itu menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Anwar, perkara itu dimaklumkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor kepada beliau sekali gus menjadikan kekuatan induk kerajaan perpaduan kini mencecah dua pertiga ahli Parlimen.

“Datuk Seri Hajiji memaklumkan bahawa GRS juga secara rasmi menyertai kerajaan perpaduan. Ini bermakna kekuatan induk yang saya umumkan semalam termasuk GPS dan sekarang GRS menunjukkan kita sudah mencecah kekuatan dua pertiga ahli Parlimen.

“Ia akan memperkukuh kestabilan politik negara dan boleh menumpukan perhatian dalam kerja-kerja kita untuk mengangkat martabat negara dan mengukuhkan ekonomi dengan maksud untuk membela nasib rakyat,” katanya dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Kerajaan perpaduan kini merangkumi blok parti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasioanal (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GRS.

Dalam sidang media sama, Anwar menjelaskan bahawa isu kos sara hidup khususnya berkaitan harga barangan menjadi keutamaan pentadbirannya.

Justeru, Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan pertemuan segera dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk membincangkan perkara berkenaan, selewat-lewatnya Isnin ini.

"Saya akan mengadakan pertemuan segera dengan jabatan dan agensi berkenaan dalam masa terdekat dan jika mereka tidak keberatan saya akan mohon mereka adakan pertemuan khas hujung minggu atau Isnin ini, walaupun saya faham cuti awam (umum)," katanya.

(Foto hiasan)

Media Baharu