fb fb fb fb fb

Graduan TVET syukur bidang kemahiran janjikan peluang pekerjaan

SERDANG, 5 Disember - Menyedari hakikat bahawa latihan kemahiran yang disediakan oleh Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebagai laluan pendidikan dan kerjaya masing-masing, TVET kini bukan sahaja pilihan gologan belia, malah warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Graduan TVET yang ditemui RTM menyifatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan diploma yang diperoleh mereka merupakan bonus untuk memenuhi industri yang memerlukan tenaga kerja terlatih serta berkemahiran tinggi.

M. Leela yang juga graduan TVET dalam kemahiran pembuatan pakaian wanita berkata, berbekalkan kemahiran yang ada, beliau menjana sumber pendapatan dalam bidang jahitan.

"Sijil SKM yang saya miliki memang membantu dari segi sumber pendapatan kerana saya juga menjadi tenaga pengajar untuk kelas menjahit. Saya mampu jana pendapatan sebanyak RM3,000 hingga RM4,000 sebulan," katanya ketika ditemui RTM di sini.

Graduan Kemahiran Urut Terapi, Muhammad Mifdhal Hariz Sunadi yang cacat anggota kaki selepas mengalami kecederaan bermain bola, Muhammad optimis dengan memiliki sijil TVET dia mampu menjadi pelapis dalam industri rawatan urut terapi tradisional pada masa kini.

"Saya melihat sijil TVET menjadi satu keperluan zaman sekarang sebab bidang urut hanya dikenali dalam kalangan warga veteran dan ada yang sudah uzur mahupun meninggal dunia. Jadi saya nekad nak jadi pelapis dan pengganti orang veteran dalam industri ini mungkin saya sendiri boleh buka perniagaan dan daftar syarikat sendiri nanti," katanya.

(Dari Kiri - M. Leela, Muhammad Mifdhal Hariz Sunadi dan Stepheni Bingkok
antara graduan TVET yang ditemui RTM pada Isnin)

Stephenie Bingkok anak kelahiran Sarawak ini juga graduan kelulusan kemahiran urut terapi berkata dengan memiliki sijil SKM orang tidak akan mempersoalkan kredibilitinya termasuk pihak berkuasa.

"Nak buka kedai urut memerlukan permit polis dan sekiranya polis bertanya sama ada memiliki sijil kemahiran atau tidak sekurang-kurangnya dengan memiliki sijil SKM yang diiktiraf orang akan lebih percaya dengan perkhidmatan yang disediakan," kongsinya yang berhasrat membuka kedai urut terapi.

Mereka merupakan sebahagian daripada 256 graduan TVET yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia bertempat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Isnin.

Media Baharu