fb fb fb fb fb

Graduan diseru hayati sejarah kemerdekaan negara- Agong

KUALA LUMPUR, 11 Ogos- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru para graduan agar sentiasa mengingati dan menghayati sejarah kemerdekaan negara.

Seri Paduka bertitah penghayatan sejarah adalah penting bagi membangkitkan kesedaran dan kecintaan kepada negara serta menghargai nikmat kemakmuran yang dikecapi sekarang.

“Generasi pewaris negara harus sentiasa menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah. ini kerana manusia yang tidak belajar daripada sejarah akan mengulangi kesilapan sama berulang kali.

"Kerana itu para cendekiawan dunia menyatakan bahawa identiti nasional sesuatu bangsa dan negara ditentukan oleh batasan waktu yang berkait rapat dengan sejarah," titah baginda dalam titah diraja pada Majlis Konvokesyen ke-17 dan 18 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di ibu negara.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Pro-Canselor UniKL, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Sebanyak 10,547 graduan terlibat dalam majlis konvokesyen bagi 2020 dan 2021 yang tertangguh sejak dua tahun lepas. 


(Al-Sultan Abdullah pada Majlis Konvokesyen ke-17 dan ke-18 UniKL)

Ia diadakan sebanyak 13 sesi bermula hari ini hingga 17 Ogos. 

Dengan jumlah ini, UniKL telah melahirkan 73,317 alumni termasuk graduan yang diraikan hari ini. 

Majlis tersebut turut meraikan graduan sulung bagi program Sarjana Pengurusan dan Operasi Maritim serta Sarjana Pengurusan dan Kejuruteraan Kualiti.

Turut diraikan, 70 graduan sulung program Huffaz profesional. 

 


Media Baharu