fb fb fb fb fb

Cadangan pembinaan kampus baharu UniKL di Kuala Lumpur sedang dipertimbang- Mahdzir

KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah lagi kampus Universiti Kuala Lumpur  (UniKL) di Kuala Lumpur bagi menyokong misi pengantarabangsaan universiti berkenaan. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, yang juga Pro-Canselor UniKL, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin kampus itu mampu melonjakkan peranan UniKL sebagai instrumen pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus menarik lebih ramai pelajar asing ke Malaysia.

"Pihak kerajaan akan terus membantu perkembangan bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (T-VET) yang diperjuangkan oleh UniKL termasuk membuka kampus baharu di Pahang dan Perlis dalam bidang logistik lestari, kejuruteraan air, teknologi pertanian dan teknologi bangunan. manakala sebuah kampus satelit di Kota Kinabalu, Sabah," katanya dalam ucapan aluan sempena Majlis Konvokesyen ke-17 dan ke-18 UniKL.

Istiadat tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Canselor UniKL.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Berkongsi mengenai pencapaian UniKL, Mahdzir berkata universiti yang menyambut ulang tahun ke-20 tahun ini berada antara 15 universiti Malaysia yang berada dalam kedua-dua ranking universiti terbaik dunia. 

Ia adalah berdasarkan pengiktirafan oleh Times Higher Education dan QS University Ranking. 

“Program sains komputer, kejuruteraan dan kewangan Islam yang ditawarkan oleh UniKL pula tersenarai dalam ranking mata pelajaran terbaik," katanya. 

Dari segi kebolehpasaran graduan pula, beliau berkata kesemua 12 kampus UniKL tersenarai di kedudukan 20 tertinggi dalam kalangan universiti dan kolej swasta berdasarkan laporan kajian pengesanan graduan yang dijalankan Kementerian Pengajian Tinggi. 


(FOTO FAIL)

Sebanyak 10,547 graduan terlibat dalam majlis konvokesyen bagi 2020 dan 2021 yang tertangguh sejak dua tahun lepas. 

Ia diadakan sebanyak 13 sesi bermula hari ini hingga 17 Ogos. 

Dengan jumlah ini, UniKL telah melahirkan 73,317 alumni termasuk graduan yang diraikan hari ini. 

Majlis tersebut turut meraikan graduan sulung bagi program Sarjana Pengurusan dan Operasi Maritim serta Sarjana Pengurusan dan Kejuruteraan Kualiti.

Turut diraikan, 70 graduan sulung program Huffaz profesional. 

 

Media Baharu