fb fb fb fb fb

GrabAssist dilancar, 100 pemandu terlatih sedia bantu penumpang mobiliti terhad

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Disember - Perkhidmatan baharu, Grab Malaysia dilancarkan bersempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU), memberi kemudahan mobiliti kepada penumpang yang memerlukan bantuan tambahan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkhidmatan itu melibatkan 100 pemandu terlatih bagi membantu pengguna kerusi roda, warga emas dan individu yang bergantung pada alat bantuan pergerakan.

“Latihan khas itu meliputi kaedah mengendalikan peralatan mobiliti, teknik mengangkat dengan selamat serta komunikasi efektif bagi memastikan perjalanan lebih selesa dan selamat untuk penumpang.

"Buat permulaan, GrabAssist akan beroperasi di Kuala Lumpur sebelum diperluas ke negeri-negeri lain secara berfasa," jelasnya.

Datuk Seri Nancy menyifatkan inisiatif tersebut sebagai usaha penting sektor swasta dalam menyokong agenda inklusiviti negara selain menambah baik akses mobiliti OKU.

Beliau berharap lebih banyak syarikat tampil menjalankan inisiatif serupa bagi memastikan golongan OKU mendapat peluang setara, sekali gus memperkukuh ekosistem inklusif negara.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN