KUALA LUMPUR, 3 Disember – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyalurkan RM296 juta bagi tindakan segera menangani hakisan pantai serta kerosakan akibat banjir dan ombak besar sepanjang Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) 2022-2025.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, meskipun JPS tiada dana kecemasan khusus, kerja-kerja mitigasi tetap dijalankan di bawah Kerja-Kerja Kecemasan di Luar Jangka, mengikut permintaan semasa dan keperluan kritikal.
"Sebagai makluman, JPS tidak mempunyai dana kecemasan khusus bagi hakisan pantai. Bagaimanapun, tindakan segera tetap dilaksanakan
bagi kerja-kerja selepas berlaku banjir atau ombak besar yang berlaku di luar jangkaan berdasarkan permintaan semasa di bawah butiran Kerja-Kerja Kecemasan di Luar Jangka," katanya.
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) 2022-2025, sejumlah RM296 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan tindakan segera di seluruh negara.
"Selain tindakan segera, kerajaan turut melaksanakan langkah jangka panjang melalui pendekatan struktur dan bukan struktur. Pendekatan struktur melibatkan RM3.53 bilion bagi 45 projek hakisan pantai dan muara sungai, dengan 19 projek sedang dilaksanakan, 14 di peringkat pra pelaksanaan, lima di pasca pelaksanaan, dan tujuh projek telah siap sepenuhnya," katanya menjawab pertanyaan Senator Hussin lsmail
mengenai jumlah peruntukan kecemasan hakisan pantai dalam tempoh lima tahun terakhir.
Pendekatan bukan struktur pula dilaksanakan melalui Pelan Pembangunan Pantai Bersepadu (Integrated Shoreline Management Plan, ISMP) yang kini melibatkan 20 kajian.
Kajian tersebut membantu pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan pihak berkepentingan merancang pembangunan kawasan persisiran dengan strategi pencegahan bagi mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.
Akmal Nasrullah menegaskan, semua usaha menangani hakisan pantai, termasuk tindakan segera dan projek mitigasi jangka panjang, dijalankan secara bersepadu antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan langkah mitigasi dan pengurusan risiko lebih berkesan, menyeluruh dan memberi manfaat kepada penduduk, serta memastikan kelestarian kawasan persisiran pantai.
