fb fb fb fb fb

Golongan muda ASEAN perlu diberi lebih ruang serlah potensi kreatif

Golongan muda di rantau ASEAN perlu diberi lebih banyak ruang dan peluang untuk menyerlah dalam bidang kreatif, sekali gus memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai pusat industri filem dan televisyen serantau/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Golongan muda di rantau ASEAN perlu diberi lebih banyak ruang dan peluang untuk menyerlah dalam bidang kreatif, sekali gus memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai pusat industri filem dan televisyen serantau.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, penyertaan aktif generasi muda akan memperlihatkan potensi besar bakat baharu ASEAN, termasuk pemenang utama kategori TikTok Terbaik yang hanya berusia 20 tahun.

“Kami meraikan kreativiti dan ingin turut meraikan bakat muda agar mereka dapat dikumpulkan bersama. Diharapkan, melalui kolaborasi ini, ASEAN mampu muncul sebagai jenama yang diiktiraf di peringkat global.

“Inilah sebabnya kami mahu mengumpulkan semua pihak supaya mereka dapat membina lebih banyak hubungan, bertukar idea, dan dengan penerbitan bersama antara negara-negara ASEAN, kami mampu membawa industri televisyen dan filem ke peringkat seterusnya,” katanya.

3010 TEO BAKAT MUDA ASEAN 2 Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ketika sidang media selepas Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN Film & TV Summit 2025 di ibu negara/BERNAMA

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Makan Malam Gala ASEAN Film & TV Summit (AFTS) 2025 Siri 2, yang berlangsung di ibu negara malam tadi.

Tambahnya, kerajaan kekal komited memberikan sokongan terhadap program pembangunan bakat muda bagi melahirkan lebih ramai peneraju utama dalam industri filem dan televisyen serantau.

AFTS 2025 Siri 2 yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 Oktober itu menarik penyertaan lebih 300 peserta daripada lebih 20 organisasi ASEAN, termasuk penyiar tempatan seperti RTM, BERNAMA, Media Prima dan ASTRO.

Majlis Malam Gala itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Penerbitan Bersama (Co-Production) antara negara-negara ASEAN.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, mengalu-alukan penyertaan penerbit di rantau ASEAN untuk melaksanakan projek kerjasama produksi bersama atau co-production.

“Kami mengalu-alukan penerbit-penerbit untuk melaksanakan co-pro. Niat utama co-production ini ialah menggabungkan idea-idea di rantau ASEAN, bukan hanya di Malaysia.

"Dana co-pro juga diwujudkan untuk menyokong kerjasama antara penerbit dari negara seperti Singapura dan Thailand bersama Malaysia, namun ia tetap diuruskan melalui syarikat tempatan,” jelasnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN