KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Sebanyak 149 projek telah diluluskan di bawah Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI) dari tahun 2021 hingga September 2025, membabitkan 56 produksi antarabangsa dan 93 produksi tempatan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menjelaskan sepanjang tempoh tersebut, kerajaan telah menyalurkan lebih RM189.9 juta dalam bentuk rebat, yang berjaya menarik pelaburan langsung berjumlah RM1.05 bilion ke dalam industri kreatif tempatan.
“Dalam tempoh ini, kerajaan telah mengagihkan rebat lebih RM189.9 juta, sekali gus menarik pelaburan langsung sebanyak RM1.05 bilion ke dalam industri kreatif Malaysia serta mewujudkan 13,041 peluang pekerjaan.
"Negara-negara yang mengambil bahagian termasuk China, Amerika Syarikat, United Kingdom, Finland, Denmark, Australia, Indonesia, Jepun, Perancis, Itali dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Gala ASEAN Film & TV Summit di ibu negara, malam tadi.
Tambahnya, sebanyak RM40 juta telah diperuntukkan di bawah Belanjawan 2025 untuk FIMI, dan setakat September, RM39.28 juta telah disalurkan bagi menyokong 32 projek, terdiri daripada 12 produksi antarabangsa dan 20 produksi tempatan.
“Bawah Bajet 2026, kerajaan telah memperuntukkan RM110 juta untuk terus merangsang industri kreatif di bawah FINAS, termasuk RM10 juta yang dikhaskan bagi produksi bertemakan patriotik yang memperkukuh identiti nasional,” jelasnya.