fb fb fb fb fb

13 filem tempatan catat kutipan RM164 juta setakat Oktober - Teo

Sebanyak 13 daripada 59 filem tempatan yang diterbitkan di bawah Skim Wajib Tayang tahun ini berjaya mencatat kutipan pecah panggung berjumlah RM164.02 juta/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Sebanyak 13 daripada 59 filem tempatan yang diterbitkan di bawah Skim Wajib Tayang tahun ini berjaya mencatat kutipan pecah panggung berjumlah RM164.02 juta setakat 26 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pencapaian itu mencerminkan perkembangan positif industri perfileman tempatan yang terus menunjukkan daya saing tinggi dalam pasaran domestik.

“Pada tahun 2023, sebanyak 62 filem diterbitkan dengan 16 daripadanya meraih kutipan pecah panggung berjumlah RM102.66 juta. Manakala pada tahun 2024, Malaysia menghasilkan 58 filem dengan 13 daripadanya mencapai status pecah panggung, mencatat kutipan keseluruhan sebanyak RM117.19 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025 (ASEAN Film & TV Summit) di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengerusi FINAS, Datuk Gerald Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jury Latiff Rosli; serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Tambahnya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan meneliti keperluan menubuhkan Dana Penerbitan Bersama khas bagi kandungan televisyen, sebagai langkah memperkukuh sokongan terhadap industri kandungan tempatan.

“FINAS akan mengkaji keperluan untuk mewujudkan Dana Produksi Bersama khusus bagi format televisyen sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan terhadap kandungan tempatan.

"Langkah ini juga bagi memanfaatkan potensi pasaran ASEAN yang semakin berkembang, serta menggalakkan penerbitan filem dan televisyen bersama antara negara anggota ASEAN,” jelasnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN