fb fb fb fb fb

Golongan miskin bandar digalakkan ambil bahagian dalam Program U Kasih

(Ketua Pengarah ICU JPM, Datuk Ruji Ubi meninjau produk yang dihasilkan usahawan dalam Program U Kasih) 

ISKANDAR PUTERI, 17 Mei - Golongan miskin bandar di negara ini digalakkan mengambil bahagian dalam Program Usaha Kasih (U Kasih) sebagai inisiatif membasmi kemiskinan seterusnya meningkatkan pendapatan.

Langkah itu selari dengan hasrat kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12, (RMKe-12) menerusi program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) dengan sasaran 200,000 ketua isi rumah tegar di 80 lokaliti seluruh negara sifar kemiskinan tegar menjelang tahun 2025.

Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Datuk Ruji Ubi berkata program U Kasih yang dimulakan di Johor sejak dua tahun lalu turut diperluas ke seluruh negeri dengan sasaran 70 sehingga 100 ketua isi rumah mengambil bahagian menerusi program tersebut.


(Antara produk yang dihasilkan usahawan pada Showcase Produk Usaha Kasih (U Kasih) Negeri Johor)

"Program ICU ini hanya berskala kecil manakala BMTKM itu dia berskala besar dan menyeluruh ada tiga fasa, fasa pertama melibatkan 80 lokaliti, saya sebut tadi kemungkinan akan dilancar dalam waktu terdekat dan fasa kedua pada Julai, satu lagi fasa ketiga sebelum hujung tahun ini," kata beliau kepada pemberita selepas Showcase Produk Usaha Kasih Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini.

Di negeri Johor, 29 daripada 70 KIR berjaya keluar daripada kategori miskin tegar menerusi program rintis U Kasih dalam tempoh setahun.

Media Baharu