KUALA LUMPUR, 16 September - Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 membuka tirainya esok (17 September) dalam usaha memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju dan rujukan halal dunia dan turut menjadi ruang membentuk kebersamaan serta persefahaman antara negara.dengan tiga acara utama.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, tiga acara utama diketengahkan iaitu Halal Certification Bodies Convention (HCBC), International Halal Technical Capacity Development Programme (IHTCDP) dan Global Halal Talk (GHT).
"Kita berkongsi mengenai perkembangan terkini khususnya pelaksanaan pensijilan halal oleh Malaysia, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa, melibatkan semua badan pensijilan halal yang diiktiraf atau belum diiktiraf, termasuk juga autoriti pensijilan halal dari negara-negara OIC.
"Usaha ini penting bagi memastikan wujudnya persefahaman bersama agar kita dapat bersatu demi manfaat umat Islam serta masyarakat bukan Islam yang turut menikmati produk halal di seluruh dunia, insya-Allah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucaptama meraikan para delegasi sempena Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di ibu negara.
Sidang berprestij itu melibatkan penyertaan daripada pemimpin industri, penggubal dasar, akademik, badan pensijilan halal antarabangsa dan pengguna yang melibatkan hampir 50 buah negara bertemakan Integriti, Kemampanan dan Ketahanan.
Acara tahunan halal terbesar ini juga bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 September nanti.