fb fb fb fb fb

Lebih 10 badan pensijilan antarabangsa tunggu audit, pengiktirafan halal JAKIM

Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 September - Peranan negara sebagai peneraju dan rujukan halal dunia terus diperkukuh apabila lebih 10 organisasi antarabangsa dalam senarai menunggu proses audit dan mendapatkan pengiktirafan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk diiktiraf Malaysia.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata keterbukaan Malaysia dalam berkongsi pengetahuan antara faktor pensijilan halal negara diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Kita sentiasa menerima pihak industri yang ingin mendapatkan maklumat dan pengetahuan berkaitan pensijilan halal. Keterbukaan ini sebenarnya telah lama kita amalkan sejak dahulu lagi.

"Inilah antara sebab mengapa pensijilan halal Malaysia mendapat pengiktirafan serta penghargaan yang tinggi daripada pemain industri antarabangsa.

"Malah, pengguna di peringkat global juga melihat produk yang disijilkan halal Malaysia bukan sahaja berkualiti tinggi, tetapi turut memberikan keyakinan dan kepercayaan lebih berbanding pensijilan lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucaptama meraikan para delegasi sempena Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di ibu negara.

Laporan Global Islamic Economy (GIE) 2024 menyatakan Malaysia telah diiktiraf sebagai peneraju halal global selama 11 tahun berturut-turut membuktikan keupayaan negara dalam memacu pembangunan industri halal di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, sidang berprestij itu melibatkan penyertaan daripada pemimpin industri, penggubal dasar, akademik, badan pensijilan halal antarabangsa dan pengguna dari 50 buah negara bertemakan Integriti, Kemampanan dan Ketahanan. 

Antara program yang akan berlangsung sehingga 22 September ini ialah 
Global Halal Talk, 21st Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan World Halal Business Conference (WHBC).

Acara tahunan halal terbesar itu juga bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 September ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI