fb fb fb fb fb

Geran sekali bayar RM1,000 kepada syarikat PMKS berdaftar jika kembali teraju kerajaan - PM

KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan pemberian geran sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada semua syarikat PMKS berdaftar diteruskan sekiranya mendapat semula mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU ke-15).

Beliau menjelaskan kerajaan pimpinannya komited memastikan tiada yang tercicir mengecapi nikmat kemakmuran negara termasuk golongan penjaja, peniaga dan usahawan kecil.

"Manfaat dalam Bajet 2023 khususnya kepada golongan penjaja dan peniaga kecil dapat dilaksanakan sekiranya bajet ini dapat dibentang semula. Bajet yang dibentangkan masih tidak boleh dilaksanakan kerana perlu dibentang semula dan diluluskan oleh parlimen.

Saya yang bertanggungjawab sepenuhnya bersama Kementerian Kewangan untuk berbincang tentang bajet ini, berjanji jika diberikan peluang semula mengetuai negara ini selepas PRU ke-15, kita akan bentangkan semula bajet demi kepentingan rakyat termasuk kumpulan penjaja dan sebagainya," kata Ismail Sabri berucap pada majlis perasmian Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia 2022 di ibu negara.


(Foto FB Menteri)

Sementara itu, pada majlis sama, Datuk Seri Ismail Sabri juga mengumumkan beliau bersetuju menjadi penaung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu.

"Penjaja sentiasa dekat di hati saya. Saya juga pernah menjadi penjaja waktu saya bersekolah rendah lagi. Hidup saya sama macam penjaja, apa yang penjaja rasa, saya dah lalui dulu. Oleh sebab itu, setiap permohonan yang dibuat penjaja, pasti saya luluskan untuk kepentingan penjaja," tambah Ismail.

Media Baharu